Entri kali ini pendek sahaja.
Semua orang menginginkan kemurahan rezeki. Dalam kata lain, kita selalu mahu nikmat Allah datang dengan mudah saat diri dihimpit kesusahan ataupun ketika bersenang lenang.
Ramai orang berusaha untuk murah rezeki. Mengamalkan doa-doa tertentu. Membaca ayat-ayat yang tertentu dari kitab Allah. Mengikut beberapa petua dan sunnah-sunnah Rasullullah. Bangun awal pagi. Tidak tidur selepas subuh. Buka tingkap rumah pagi-pagi. Mencari rumah yang menghadap terbitnya matahari. Tidak makan dari pinggan yang retak. Dan pelbagai lagi cara.
Saya tidak menafikan cara-cara itu memang bagus dan patut diamalkan. Tapi adakah kerana mahukan murah rezeki maka rezeki yang kadang-kadang datang bergolek-golek kepada kita tanpa kita sedari boleh dipandang ‘murah’ nilainya?
Rezeki kita memang murah kerana dapat makan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Adakah kerana murahnya rezeki kita menjadikan kita orang yang berhak untuk menjadi cerewet sehingga makanan yang dianggap tidak boleh diterima oleh tekak kita sendiri ringan pula tangan kita mencampaknya ke tong sampah? Janganlah beli kalau kita sudah tahu tekak kita tidak menyenanginya.
Hadis Nabi yang menyeru kita untuk berhenti makan sebelum kenyang juga bukanlah alasan untuk kita mensia-siakan pemberian Allah. Sambunglah makan pada waktu lain jika sudah kenyang.
Teringat kisah yang pernah diceritakan di blog Saifulislam mengenai orang Turki. Orang-orang Turki jika makan biskut, mereka akan menadah habuk-habuk biskut ke dalam piring . Setelah itu habuk-habuk itu pula akan dimakan. Kenapa? Alasannya kerana kita tidak tahu dari bahagian mana makanan itu datangnya keberkatan. Mungkin dari sekecil habuk itu. Mungkin dari makanan yang tidak boleh diterima oleh tekak itu. Hanya Allah yang tahu.
Kita sibuk memboikot produk-produk Israel. Kita sibuk mengasihani dugaan yang terpaksa dihadapi penduduk-penduduk bumi Gaza. Tapi kita lupa yang kita bermewah-mewah dengan makanan di sini merupakan satu kezaliman bagi mereka yang susah. Kita boleh melihat kesengsaraan mereka melalui televisyen. Bayangkan jika mereka juga boleh melihat kita, apakah agaknya perasaan mereka melihat saudara mereka ini? Adakah kita tidak malu? Tidakkah kita takut apabila ‘kezaliman’ kita dipersoalkan kelak? Sahabat-sahabat, jangan lupa pada Zat yang memandang.
p/s: Entri yang sepatutnya pendek dah jadi panjang.
No comments:
Post a Comment