Tuesday 18 May 2010

rebellious

alhamdulillah..bulan mei ni ramai yang menyambut hari ulangtahun kelahiran. adikku amir, 2 orang cousinku, sahabatku fifi dan salwa dan ada beberapa lagi yang tidaklah perlu namanya disebut disini. cukuplah kalian ku hamparkan doa agar sentiasa sejahtera dan di dalam perlindungan-Nya.

sejak akhir-akhir ini juga, ramai yang bertanya tentang jodoh, bila mahu makan nasik minyak dan seangkatan dengannya. (padanlah muka saya sendiri, siapa suruh usik2 orang, kan dah kena usik pulak..hehe)

dan saya mengelak itu ini dengan mereka, yalah, calon pun belum ada nak buat macam mana. tapi dengan sahabat baik saya yang seorang itu, memanglah saya tidak mampu menyorokkan apa-apa tentang diri saya. tentang mengapa saat ini, saya masih belum mampu berkomitmen. ya.. mungkin saya sudah fikirkan tentang kehidupan ini untuk 2-3 tahun akan datang, tapi untuk mulakan satu langkah menuju ke arahnya itu yang saya ragu-ragu.

satu penghalang yang paling besar buat saya sekarang adalah, saya benci dengan diri sendiri. bukanlah benci dengan apa yang telah dijadikan buat saya, tetapi lebih kepada benci dengan sikap saya sendiri, dengan keadaan yang membentuk sikap saya itu. saya tidak ingin menyalahkan mana-mana pihak, kerana kegagalan saya mengawal setiap inci kehidupan saya, tidak boleh saya letakkan bebanan itu kepada orang lain. mungkin ada yang boleh bertoleransi, tetapi tahap toleransi itu belum dapat saya capai.

saya mencampur-adukkan hal kerja dan hal rumah. membawa pulang masalah kerja ke rumah adalah satu bencana. niat untuk meringankan tugas ibubapa, berlaku sebaliknya, bilamana saya pulang membawa tekanan, menjadi rebellious, minta perhatian bagai anak kecil, dan adakalanya cemburu melihat perhatian mereka kepada kakak-kakak saya...yang sudah berkahwin! sudahnya hujung minggu yang sepatutnya ceria, jadi muram dek perangai saya. dan penambah perisa kepada kemuraman ini adalah, semuanya tidak dapat saya suarakan. disimpan peram dalam hati, pedih. silent treatment yang pastinya tidak mengubat sesiapa.

untuk saat ini, itulah penghalang saya. tiada calon itu soal kedua.

"manusia tidak dapat mencintai orang lain selagi belum mencintai diri mereka sendiri. dan mereka tidak akan mencintai diri mereka sendiri sebelum mereka mencintai Tuhan", quote dari blog Cik Sarah.

naudhubillah! pahit hakikat yang perlu ditelan. takut untuk bertanya diri sendiri, apakah saya masih belum cinta Tuhan saya sepenuh hati? ada benarnya quote itu. orang yang belum menemui cinta Tuhannya, mereka tidak akan bersedia mendepani diri mereka sendiri. rapuh dalam menerima ujian. lalu bagaimana bisa mereka mencintai orang lain, yang akan muncul dengan pelbagai lagi kerenah, tanggapan dan penerimaan.

semuanya akhirnya akan refleks kepada diri sendiri. lalu tanyalah diri,

"would i marry me?", quote sis Zabrina

tidak tahu bagaimana kamu. tapi bagi saya, sehingga belum mampu saya mengatakan ya, sehingga itulah kamu tidak akan mendapat apa-apa undangan dari saya.


p/s: oh. Selamat Hari Guru buat guru-guru SK Raja Muda, SM Projek, MRSM Gerik, MRSM Taiping, Pensyarah UTM Skudai, Kolej Matrikulasi Melaka, Universiti Malaya, dan semua yang pernah menjadi guru diri ini, dalam akademik mahupun bukan. ;) Selamat Hari Mama juga buat Mama ku! Setiap kesalahan yang saya terlanjur lakukan, percayalah saya tidak pernah sedikit pun niatkannya. Itu hanyalah masalah dalaman diri yang akan saya usahakan untuk diperbaiki. insyaAllah, doakan saya! ;)

Friday 14 May 2010

La Taghdob!

pulang ke Shah Alam petang tadi. hati berbunga-bunga mau jumpa Faheem. tapi kena singgah pergi amek Mama kat ofis dia. hati tengah gembira. mood pun tengah ceria. tapi adalah seorang insan di jalanraya tadi buat hati saya tercalar sikit. penunggan motosikal. saya nampak dia dalam cermin sisi, saya pun bagilah signal, perlahankan kereta sebelum masuk lane kiri.boleh pulak dia hon saya. hon je takpe, tapi dia adalah buat perkara yang saya sakit hati. tak perlulah saya cerita.

haih. sakitnya hati saya tak terkira. sepanjang saya memandu, tak pernah ada orang buat macam tu kat saya. padahal saya sempat break nak bagi dia lalu. lepas dia lalu tu, saya pintas dia balik, nak tengok muka orang yang kurang diajar itu. dan kalau ikutkan hati, saya hon dia kuat2, atau bukak tingkap dan buatlah apa2 yang patut. entah kenapa saya marah sangat-sangat. saat tu saya sedar, ada sesuatu yang membuat saya begitu marah. hati saya meluap-luap kepanasannya. cuma syukur kepada Allah, saat saya begitu membara, saya teringat satu nasihat Nabi saw iaitu

"La Taghdob! Janganlah kamu marah!"

Mungkin hati saya tidak terus sejuk, tapi itulah yang menghalang saya dari melakukan perkara yang tak sepatutnya. Terus saya berlalu, tapi kejadian itu terus berulang di fikiran saya. Berkali-kali saya ingatkan diri saya,

"Awanis....La Taghdob! Janganlah kamu marah!"

Sampailah saya jumpa Mama, dan terus pulang, saya tidak membuka sedikit pun bicara tentang perkara itu. Malah hingga kini pun. Tapi dalam perjalanan pulang tu, jalan sesak. Di satu simpang, saya beri laluan kepada sebuah kereta untuk masuk di hadapan saya. Pemandu itu senyum dan angkat tangan. Saya tidak rasa seperti berbuat apa-apa. Tapi dengan dia menguntum senyum itu sahaja, terus saya lupa kepada kesakitan saya tadi.

Disitu, saya simpulkan, jangan dikenang apa yang orang buat jahat pada kita. Biarkan sahaja dia sakit hati seorang diri. Jangan dirosakkan sekeping hati kerana manusia yang tidak beradab seperti itu. Kenanglah kebaikan seseorang, kerana dari situ akan terbit kebahagiaan. Dan yang paling penting, ingatlah pesan Nabi saw,

"La Taghdob! Janganlah kamu marah!"

Saya tidak dapat bayangkan jika saya berbuat sesuatu yang tidak sepatutnya kepada lelaki itu. mungkin banyak kejadian bunuh-membunuh di jalanraya, adalah disebabkan cetusan api amarah yang kecil, yang apabila dihasut-hasut, menjadi parah. Padamkan api itu, kawan-kawan. Hidup kamu akan lebih bermakna.

p/s: Gembira jumpa Faheem, dia sudah pandai menggoyang-goyangkan badan bila kita nyanyikan tepuk amai-amai untuk dia. kesian dia, di rumah ni, tiada mainan, terpaksa main dengan botol kacang. nanti aunty Abby belikan Faheem mainan ye. what do u want for your first birthday, Faheem? (^_^)



Wednesday 12 May 2010

strong in silent

penangan gigi bongsu ini memang sangat hebat. sudah 5 hari saya menahan sakitnya. apabila dipujuk pergi berjumpa doktor, pelbagai alasan saya berikan. saya bukan takut jumpa doktor. sungguh. saya lebih rela telan panadol atau pain killer daripada berjumpa doktor. saya pun hairan mengapa. hinggalah akhirnya saya temui jawapannya hari ini.

papa dan mama akhirnya mengalah untuk membawa saya ke klinik berhampiran rumah sewa sahaja. sebelum ini mereka mahu bawa saya pulang ke Shah Alam untuk mendapat rawatan disana, tetapi saya tidak mahu. beralasan kerana malas pulang ke Shah Alam. (boleh percaya ke alasan malas pulang dari seorang Awanis..? hehe..)

lalu, saya pinta mereka menghantar saya ke klinik di apartment sebelah ni, jika mereka tetap mahu saya ke klinik. betapa dekatnya, hari-hari saya lalu dihadapan klinik itu untuk ke kedai makan disebelahnya. tapi tiada niat langsung mahu menyinggah di klinik itu.

bertemu doktornya, yang boleh tahan peramah. menceritakan bagaimana seseorang itu berbeza tahap kesakitannya ketika mahu tumbuh gigi bongsu. dia berpendapat bahawa saya mempunyai rahang yang kecil, lalu gigi bongsu sudah tiada tempat untuk tumbuh, lalu ia tumbuh menyenget, itu yang menyebabkan kesakitan. ok, enough about that, saya tak reti nak bercerita pasal medical terms ni.

lepas tu, mama yang menemani saya, seperti biasa peramah juga orangnya. mula menceritakan betapa susahnya memaksa saya ke klinik. bagaimana saya beralasan macam-macam untuk tidak pergi. bayangkan, 5 hari saya menahan sakit gigi, akhirnya mama yang terlebih risau dari saya, kerana katanya sakit gigi juga boleh membawa maut. Nauzubillah!

ada riak terkejut di muka doktor itu apabila mama mengatakan bahawa saya sudah bekerja. dia ingat saya masih belajar. dia kata "u look young" (hehehe..berbunga2 hati.. :D) ok mungkin kerana saya sakit maka saya sempoi sahaja bert-shirt dan berjeans. ditambah pula dengan selipar jepun saya itu. gaya-gaya student beb.

kemudian mama pun membuka cerita tentang saya yang baru grad dari UM tahun lepas, mendapat kerja di kawasan ini, dan bakal menyambung master pula di UM pada Julai ini. sekali lagi doktor itu terkejut dan memintas, "oh saya pun sedang sambung master di UM. saya sebenarnya surgeon di Hospital Ampang, kerja part time di sini klinik adik saya." pantas juga dia mengeluarkan kad namanya. dan giliran saya pula untuk terkejut. namanya nama Islam, tetapi dia seorang Indian, kliniknya ada patung Hindu. mungkin perasan riak kami, dia pun kata "saya mualaf". aduh terkesima sebentar. kerana saya memang sensitif bila berhadapan dengan mualaf. saya rasa kecil berada dengan mereka. terus lah kami melanjutkan perbualan. dia bertanya tentang course bioinformatik yang saya ambil dsb. dan turut menyarankan agar saya bekerja di hospital. kalau doktor recommend, apa salahnya. tapi dia sengih2 sahaja. he he. Awanis..Awanis.. jangan tambah pilihan lagi..yang sedia ada pun sudah sulit untuk difikirkan.

jadi, saya mendapat sedikit kebahagiaan terselit dalam hati. kerana cahaya dari wajah seorang mualaf yang bersinar-sinar. dan dia yang tentunya sibuk dengan kerjayanya juga mampu mencari hidayah Allah, takkanlah saya yang hanya diuji dengan kesibukan sebesar kuman ini tidak mampu. terima kasih Allah, atas petunjuk yang Engkau berikan hari ini.

oh ya. tentang jawapan kenapa saya tidak suka jumpa doktor, saya baru perasan yang saya ni anak mak. ok semua orang pun anak mak, tapi saya ni "anak mak". kamu fahamkan? sejak dari sekolah, saya tak suka jumpa doktor kalau mama tak teman. pernah mama turun dari Shah Alam ke asrama saya di Taiping, untuk bawa saya ke klinik. Awanis..Awanis..sebab tu lah kamu tak ditakdirkan untuk ke oversea..*geleng kepala* hehe.

p/s: doktor tu kata saya ni strong in silent. sebab tak ramai yang tahan sakit gigi berhari-hari. ada sorang makcik urut ni dia impressed tengok saya tahan sakit, sebab selalunya orang menjerit2 bila dia urut, saya boleh buat muka selamba. ada jugak doktor yang buat muka kagum bila saya kata saya pernah derma darah 4-5 kali. saya pun jadi hairan dengan mereka. pelik sangat ke orang tahan sakit? tapi mereka tak tahu betapa banyaknya saya mengeluh sakit dengan rakan2..ye dok sarah? hihi..


Dari Abdullah r.a katanya : "Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata "Ya, Rasulullah ! Demammu bertambah teruk." Jawab baginda "Memang demamku sama dengan dua orang kamu." Kataku pula, "Semoga anda mendapat pahala berganda pula." Jawab baginda : "Semoga!" Kemudian sabda baginda pula : "Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah taala dosa-dosanya seperti pohon kayu menggugurkan daunnya."


Tuesday 11 May 2010

pilihan lagi

manusia memang dilahirkan untuk membuat keputusan. mereka sering diberi pilihan. dan betul salahnya pilihan yang mereka lakukan, ia tidak lebih hanya sekadar satu ujian buat manusia, menguji manusia tentang kebolehan berfikir baik buruk setiap tindakan yang mereka ambil. ia juga melatih jiwa manusia, agar bersedia dengan impak daripada keputusan mereka itu.

inilah yang saya sedang hadapi. pilihan yang perlu dibuat - belajar sambil bekerja atau, berhenti kerja dan sambung belajar. saatnya saya memohon untuk menyambung pelajaran, saya sudah tahu, bahawa saya perlu pandang lebih jauh sekiranya permohonan saya diterima. perlu fikir tentang kesediaan saya untuk belajar semula, kesediaan meninggalkan syarikat sekarang, kesediaan mengorbankan "life" sekarang yang semestinya tak akan sama lagi. maklum, tidak akan ada masa untuk berjalan-jalan dengan keluarga, kenduri kawan2 mungkin banyak lagi yang akan ketinggalan dll.

sampai saat ini, saya masih lagi tidak membuat keputusan. mungkin saya sudah berat ke suatu arah, tapi ianya masih tidak jelas. alangkah bagusnya jika esok saya bangun pagi, semuanya telah berubah dengan sendirinya. tanpa saya perlu menetapkannya sendiri. banyak pendapat sudah diminta, tapi tiada seorang pun boleh memberi jawapan kepada saya. hatta istikharah saya sekalipun, masih menghampakan. sama sekali saya tidak menyalahkan istikharah itu, kerana saya tahu, ada kekurangan didalamnya yakni saya tidak melapangkan hati.



ada yang nasihatkan bahawa dalam sesetengah keadaan, kita perlu pentingkan diri. tapi, saya bukanlah manusia tidak berhati perut, lebih-lebih lagi dengan rakan sekerja yang selama ini menyokong tika susah dan senang. malah saya mungkin lebih banyak memikirkan mereka dari diri sendiri. tapi akhirnya, ini adalah kehidupan saya. apa jua yang saya putuskan untuk diri saya, saya mahu mereka terima seadanya, sebagaimana saya selalu terima semua keputusan mereka.

berikan saya sedikit masa lagi. insyaAllah, saya akan berusaha mendapatkan kemantapan hati. semoga pilihan saya, pilihan yang betul, dan diredhai-Nya. doakan saya! ^_^

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal" - Surah At-Taubah ayat 129

Monday 10 May 2010

tikar sejadah

terpanggil untuk berkongsi sesuatu, memandangkan blog ini semakin sepi. kalau diibaratkan seperti sebuah rumah, mesti saya dah panggil dia rumah tinggal, cuma tidak ditumbuhi lalang dan tidak berhabuk.

jadi apa yang saya nak kongsikan adalah sebuah hadis yang baru saya baca dari http://dakwah2u.blogspot.com

hadisnya berbunyi begini,
Nabi s.a.w bersabda : "Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: "Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya." - Abu Hurairah r.a"

Subhanallah!

Berada di tikar sejadah dalam keadaan suci pun, sudah didoakan oleh para malaikat. Bayangkan jika ditambah dengan ibadah zikir dsb. MasyaAllah. Sungguh beruntung kita. Tidak perlu keluarkan tenaga pun, Allah beri pahala percuma buat kita.

Tapi secara realitinya, susah untuk saya lihat orang2 yang sebegini. Usah dikatakan orang lain, diri sendiri juga terkadang melakukan kesilapan yang sama. Contoh paling mudah, lihatlah dikaca tv yang menyiarkan siaran langsung solat jumaat. Belum pun sempat imam membaca doa, terus ada yang bangun meninggalkan masjid. Mungkin bergegas pulang ke tempat kerja. Atau takut tersekat dalam kesesakan lalu lintas setelah semua jemaah keluar.

Saya sendiri, kadang2 tidak dapat mengelak untuk bersegera bangun dari tempat solat, terutama ketika di pejabat. Maklum, waktu solat dan lunch hour yang singkat. Tapi beralasan bukanlah penyelesai masalah. Kerana halangan paling besar seseorang itu adalah dirinya sendiri. Boleh saja saya menyegerakan makan, dan menambah waktu untuk lebih lama di tikar sejadah. Tetapi, selalunya makan diselang seli dengan sembang2 dan borak2, mana tidak terbuang waktunya.

Jadi,apalah salahnya kita cuba menambah seminit dua lagi waktu kita menghadap Allah, sebagai permulaan. Kerana setiap perubahan itu, pasti ada titik permulaannya. Dan setiap titik itu, janganlah dipandang hanya sekadar satu titik. Teruskan melakar titik-titik itu, semoga akhirnya ia jadi satu garisan lurus yang tidak akan ada penghujungnya. insyaAllah.

Jazakallahu khayran. ^_^